Theme :
Selected Language : English | Bahasa Malaysia    Font : A+ A- A
 
YB.Joseph
 
 
 
     
Speeches
 
Back 
 
Date 08/08/2017
   
Title MAJLIS PELANCARAN PORTAL MALAYSIABIZ DAN PELANTIKAN RAKAN INFORMASI LESEN (RIL) DI NEGERI SARAWAK
   
Speech  
   

Salam Sejahtera,
Salam Negaraku, dan
Salam "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Terima kasih Pengacara Majlis,

Yang Berhormat Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais,
Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan
Menteri Muda E-Dagang Sarawak

Yang Berbahagia Dato' Dr. Mazlan Yusoff,
Ketua Pengarah
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri

Yang Berbahagia Datuk Dr. Hafsah Hashim,
Ketua Eksekutif, SME Corp. Malaysia

Yang Berbahagia Datu Liaw Soon Eng,
Setiausaha Tetap
Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak

Yang Berbahagia Dato'-Dato', Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

 

 

 

 


BICARA AWAL

1. Sebagai pendahulu kata, saya ingin mengucapkan terima kasih dan sekalung penghargaan kepada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, atas kesudian menjemput saya, bagi menyampaikan ucapan, dan seterusnya, merasmikan Majlis Pelancaran Portal MalaysiaBiz serta Pelantikan Rakan Informasi Lesen bagi Negeri Sarawak pada hari ini.

2. Ucapan terima kasih juga, saya rakamkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Negeri Sarawak, SME Corp. Malaysia, Perbadanan Produktiviti Malaysia atau MPC, serta Pihak Berkuasa Negeri yang terdiri daripada Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Pejabat Daerah Kecil, Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi Kerajaan Negeri, atas kerjasama dan komitmen tinggi, bagi merealisasikan Portal MalaysiaBiz ini untuk faedah komuniti perniagaan di Negeri Sarawak.

3. Seterusnya, saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk menghulurkan salam penghargaan kepada rakan-rakan komuniti perniagaan, ketua-ketua jabatan dan para hadirin sekalian atas kehadiran ke majlis kita pada pagi ini.

MENDEPANI CABARAN MEMENUHI ASPIRASI

Hadirin yang dihormati sekalian,

4. Cabaran megatrends dunia, dan kemunculan gelombang teknologi baharu yang dikenali sebagai the Fourth Industrial Revolution atau Revolusi Industri Keempat, menyebabkan banyak negara berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi, kewangan, demografi, urbanisasi dan ekspektasi rakyat.

5. Realiti baharu ini, menjadikan peranan Kerajaan dalam menentukan hala tuju dan kelangsungan negara semakin mencabar. Namun, dengan perencanaan dan strategi yang betul, negara kita Malaysia tetap kukuh untuk terus mara melangkah ke hadapan, bagi menghadapi semua cabaran ini dengan jayanya.

6. Laporan Bank Negara misalnya, merekodkan bahawa ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini, berbanding 4.2 peratus pada suku yang sama tahun 2016. Angka ini membuktikan bahawa pencapaian berkenaan adalah, satu pertumbuhan yang di luar dari jangkaan pakar ekonomi. Sebelum ini, mereka menganggarkan kadar pertumbuhan ekonomi negara kita hanya akan berada pada sekitar angka 4.3 hingga 4.8 peratus sahaja.

7. Begitu juga dengan analisa makro yang dilakukan oleh konsultan global PricewaterhouseCoopers (PwC). Badan ini telah meletakkan Malaysia pada tangga ke-25 kuasa besar ekonomi dunia dengan unjuran Keluaran Dalam Negara kasar atau KDNK sebanyak RM6.5 trilion menjelang tahun 2030.

8. Sebahagian contoh kejayaan ekonomi negara yang saya sebutkan tadi, tidak datang bergolek mahupun berlaku secara kebetulan. Selain daripada dasar dan strategi yang betul, kestabilan sesebuah Kerajaan adalah antara faktor kritikal yang menyumbang kepada perkara tersebut.

9. Dalam hubungan ini khususnya dalam konteks negeri Sarawak, mengekalkan Kerajaan sedia ada samada di peringkat persekutuan mahupun negeri, adalah preskripsi terbaik yang perlu dilakukan oleh penduduk Sarawak, agar perancangan dan proses pembangunan ekonomi negeri ini boleh diteruskan dan tidak terbantut.

10. Kita semua sedia maklum, Sarawak adalah sebuah negeri yang luas dan besar. Setakat hari ini, kita masih belum sampai ke satu tahap yang kita sudah berjaya menyediakan 100 peratus kemudahan dan infrastruktur asas di seluruh negeri. Pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas seperti elektrik, air dan jalan raya di Sarawak dilakukan secara berterusan dan mengikut kemampuan kerajaan.

 

11. Namun begitu, Kerajaan tidak pernah berhenti untuk melengkapkan kawasan-kawasan penempatan rakyat di luar bandar dengan keperluan asas berkenaan. Di sebalik semua itu, jalinan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sarawak telah memudahkan sebarang pelaksanaan program dan projek pembangunan di negeri ini.

12. Dalam Rancangan Malaysia Ke 11 atau RMKe-11, untuk tahun 2016 hingga 2017, sebanyak 593 projek pembangunan telah ditetapkan untuk dilaksanakan di negeri Sarawak yang melibatkan kos sebanyak RM43.66 billion. Daripada jumlah tersebut, 100 projek telah siap melibatkan kos sebanyak RM4.55 billion, manakala baki 493 projek lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan melibatkan kos sebanyak RM39.11 billion.

13. Kalau saya boleh sebutkan di sini, antara projek yang telah siap adalah Jalan Akses Ke Tapak Empangan Murum, Kapit di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan kos sebanyak RM742.5 juta. Jambatan Batang Sadong, Samarahan dengan kos sebanyak RM231 juta, Program Perumahan Rakyat Kemena, Bintulu dengan kos sebanyak RM137 juta dan Empangan Bengoh, Kuching dengan kos sebanyak RM547.8 juta.

14. Bagi manfaat rakyat juga, Kerajaan turut melaksanakan projek berskala besar seperti pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,325 kilometer. Selain menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat, projek ini juga bakal menjadi pemangkin dan merancakkan lagi sektor perindustrian dan pelaburan di Negeri Sarawak.

15. Inisiatif dan iltizam dalam merealisasikan agenda pembangunan untuk kesejahteraan dan kemudahan kepada rakyat, turut dimanifestasikan Kerajaan, melalui penubuhan Pusat Transformasi Bandar atau UTC dan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC. Setakat ini, negeri Sarawak telah mempunyai tiga buah UTC, iaitu di Kuching, Miri dan Sibu, serta dua buah RTC, iaitu di Betong dan Sibuti.

16. Pewujudan UTC dan RTC ini, telah banyak membantu memudahkan urusan harian dan keperluan rakyat dalam mendapatkan perkhidmatan dari agensi kerajaan, sektor swasta dan NGO, dalam satu bangunan. Dalam konteks negeri Sarawak yang luas dan mempunyai taburan penduduk di seluruh negeri, tentunya pembinaan pusat-pusat ini bukan sahaja memudahkan, tetapi juga menjimatkan kos dari segi kewangan dan masa untuk rakyat mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan.

 

SMALL AND MEDIUM ENTERPRISE HIGH IMPACT PROGRAMME 1 (SME HIP 1): INISIATIF BITARA ERA DIGITAL

Hadirin yang dihormati sekalian,

17. Fenomena globalisasi hari ini menyaksikan negara-negara termasuk Malaysia, gigih mengatur strategi memperkukuhkan dasar makro dan mikro, bagi menyokong kelestarian pertumbuhan ekonomi negara. Dalam hubungan ini, salah satu bidang yang turut menjadi fokus Kerajaan ialah Perusahaan Kecil dan Sederhana ataupun PKS.


18. KDNK bagi sektor PKS mencatatkan pertumbuhan 36.3 peratus pada tahun 2015 meningkat kepada 36.6 peratus pada tahun 2016. Sumbangan signifikan PKS ini, turut mendorong Kerajaan mengagaskan blue print pemerkasaan PKS, iaitu Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana 2012-2020.

19. Inisiatif Small and Medium Enterprise High Impact Programme 1 atau SME HIP 1 yang menjadi topik kita pada hari ini, merupakan salah satu daripada enam program berimpak tinggi di bawah pelan induk PKS. Dalam menyokong pelaksanaan inisiatif ini, MAMPU telah membangunkan gerbang tunggal yang dikenali sebagai Portal Informasi Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat atau Portal MalaysiaBiz.

20. Portal ini adalah bagi memudahkan komuniti perniagaan mendapatkan informasi berkaitan pendaftaran dan pelesenan perniagaan yang terkini, sahih dan tepat melalui single gateway secara horizontal merentasi pelbagai agensi. Portal ini berkonsepkan customer oriented, yang diadaptasikan daripada pendekatan negara luar, seperti Singapura, Australia dan Kanada.


HARAPAN DAN LANGKAH KE HADAPAN

Hadirin yang dihormati sekalian,

21. Bagi memaksimumkan impak inisiatif ini, SME HIP 1 turut diperluaskan pelaksanaannya ke negeri Sarawak. Melalui beberapa sesi libat urus bersama-sama Kerajaan Negeri Sarawak dan agensi-agensi strategik berkaitan, akhirnya pada bulan Mei 2017, portal ini berjaya memuat naik maklumat pendaftaran dan pelesenan perniagaan dari 99 buah Pihak Berkuasa Negeri Sarawak.

22. Bagi memastikan kemampanan Portal MalaysiaBiz, Rakan Informasi Lesen atau RIL telah dilantik sebagai duta bagi memastikan informasi di Portal MalaysiaBiz adalah terkini, sahih dan tepat. Saya berharap, semua RIL dapat memberikan komitmen sepenuhnya untuk mengemaskini informasi bagi pihak berkuasa negeri masing-masing di Portal MalaysiaBiz. Pihak MAMPU bersama Kerajaan Negeri Sarawak, akan memberi khidmat nasihat dan sokongan dari semasa ke semasa.

23. Dalam memperkukuh posisi di era digital, Portal MalaysiaBiz yang kini hanya berfungsi sebagai portal informasi setempat, akan diperluaskan lembaran fungsinya kepada penyediaan perkhidmatan pendaftaran dan pelesenan perniagaan, secara dalam talian. Pengukuhan fungsi ini, direncanakan menerusi dua fasa, iaitu bermula tahun 2017 hingga 2018 dan akan disusuli dengan Fasa 2 bermula tahun 2019 hingga 2020.

 

PENUTUP

Hadirin yang dihormati sekalian,

24. Kejayaan menyediakan Portal MalaysiaBiz untuk manfaat komuniti perniagaan di negeri Sarawak adalah hasil kolaborasi pintar antara pihak MAMPU, Kerajaan Negeri Sarawak dan rakan-rakan strategik. Setinggi-tinggi syabas dan tahniah saya ucapkan, dan moga-moga kejayaan ini menjadi titik awal untuk kita meneruskan komitmen agar SME HIP 1 dapat dilaksanakan dan mencapai objektif yang ditetapkan.

25. Saya sekali lagi, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya pihak MAMPU dan Kerajaan Negeri Sarawak atas penganjuran majlis pada pagi ini. Saya mengharapkan, semoga hubungan baik sedia ada ini, menjadi titik permulaan bagi kerjasama yang lebih erat secara berterusan pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat.

26. Dengan kata-kata tersebut, saya dengan rasminya melancarkan Portal MalaysiaBiz bagi Negeri Sarawak.
Sekian, terima kasih.

 

 

   
Link
 
Online Jobs Application
 
 
 
 
     
Contact Us
Prominent Link
Visitor Statistic 
count
     

Minister's Office, West Block, Level 4
Perdana Putra Building
Federal Government Administrative Centre
62502 Putrajaya
Malaysia

Telephone: 03-8872 7003
Fax: 03-8890 2562


Official Website Prime Minister Office of Malaysia
Official Website Deputy Prime Minister of Malaysia
Official Website Chief Secretary to the Government of Malaysia
Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU)
Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP)
Public Services Commision of Malaysia (PSC)
Prime Minister's Department
Online :1
Today :4
Yesterday :14
Week :124
Month :370
Year :5933
Total :10763
     
DISCLAIMER: This website and the Materials are provided “as is” and “as available”, without warranty of any kind, implied, express or statutory. The Office of The Prime Minister of Malaysia and The Government of Malaysia shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or Materials obtained from this website.