Theme :
Selected Language : English | Bahasa Malaysia    Font : A+ A- A
 
YB.Joseph
 
 
 
     
Speeches
 
Back 
 
Date 25/07/2017
   
Title MAJLIS PELANCARAN PORTAL MALAYSIABIZ DAN PELANTIKAN RAKAN INFORMASI LESEN (RIL) DI NEGERI SABAH
   
Speech  
   

Terima kasih Pengacara Majlis,

Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Raymond Tan Shu Kiah,
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah

Yang Berhormat Datuk Bolkiah Haji Ismail,
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah

Yang Berbahagia Dato' Dr. Mazlan Yusoff,
Ketua Pengarah
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri

Yang Berbahagia Datuk Haji Hashim Paijan,
Setiausaha Tetap
Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah
Yang Berusaha Encik Rizal bin Nainy,
Timbalan Ketua Eksekutif I
Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia
(SME Corp. Malaysia)

Yang Berbahagia Dato'-Dato', Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

Salam Sejahtera, Salam Kegemilangan,
Salam Negaraku, Salam Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan
Salam "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

 

 

 

ALUAN PEMBUKA BICARA

1. Sebagai pembuka bicara, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, atas kesudian menjemput saya menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Majlis Pelancaran Portal MalaysiaBiz serta Pelantikan Rakan Informasi Lesen (RIL) bagi Negeri Sabah pada hari ini.

2. Ucapan terima kasih juga saya rakamkan, kepada rakan-rakan strategik iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Kementerian Pembangunan Perindustrian Negeri Sabah, Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia), dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) atas kerjasama yang diberikan sehingga majlis pada hari ini dapat diadakan.

3. Tidak ketinggalan juga, ucapan terima kasih ini ditujukan kepada agensi-agensi negeri Sabah yang terdiri daripada 14 Agensi Negeri, 29 Pejabat Daerah dan Pejabat Daerah Kecil, serta 24 Pihak Berkuasa Tempatan, atas kerjasama dan komitmen tinggi yang telah diberikan dalam melengkapkan maklumat berkaitan pendaftaran dan pelesenan perniagaan negeri Sabah dalam portal MalaysiaBiz ini. Majlis pada hari ini, adalah manifestasi kejayaan tersebut.

4. Seterusnya, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada ketua-ketua jabatan, rakan-rakan komuniti perniagaan dan para hadirin sekalian, atas kehadirian ke majlis pagi ini.

LAKARAN KECEMERLANGAN PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA

Hadirin yang dihormati sekalian,

5. Cabaran megatrends dan kemunculan gelombang teknologi baharu, yang dikenali sebagai the Fourth Industrial Revolution atau Revolusi Industri Keempat menyebabkan banyak negara berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi, kewangan, demografi, urbanisasi dan ekspektasi rakyat. Realiti baharu ini, menjadikan peranan kerajaan dalam menentukan hala tuju dan kelangsungan negara semakin mencabar. Namun, dengan perencanaan dan strategi yang betul, Malaysia tetap berupaya terus mara menghadapi semua cabaran ini dengan berkesan.

6. Laporan Bank Negara, merekodkan bahawa ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini, berbanding 4.2 peratus pada suku yang sama tahun 2016, susulan permintaan domestik dan perbelanjaan swasta yang kukuh. Pencapaian ini, dikatakan satu pertumbuhan di luar jangkaan pakar ekonomi yang sebelum ini menganggarkan kadar pertumbuhan ekonomi negara hanya sekitar 4.3 hingga 4.8 peratus sahaja.

7. Konsultan terkenal global, PricewaterhouseCoopers (PwC,) telah meletakkan Malaysia pada tangga ke-25 kuasa besar ekonomi dunia, dengan unjuran Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) sebanyak US$1.5 trilion, ataupun RM6.5 trilion menjelang 2030.

8. Bank dunia juga, turut mengiktiraf ekonomi Malaysia dengan memberi semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi bagi tahun 2017 iaitu 4.9 peratus. Malah, unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2018 dan 2019, turut diberi semakan semula lebih tinggi iaitu 4.9 peratus dan 5.0 peratus, masing-masing peningkatan sebanyak 0.4 peratus dan 0.5 peratus. Baru-baru ini juga, laporan Bloomberg turut meletakkan Ringgit Malaysia sebagai mata wang utama Asia paling stabil pada suku tahun ini.

9. The Best Country to Invest 2017, yang dikeluarkan oleh BAV Consulting and the Wharton School of the University of Pennsylvania pula, telah meletakkan Malaysia di tempat pertama daripada 80 buah negara yang dikaji.

10. Sebenarnya, kesemua pencapaian dan pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha gigih dan tanpa lelah ramai dalam kalangan kita, daripada pucuk pimpinan Kerajaan, sokongan komuniti perniagaan, kerja keras penjawat awam, sehinggalah ke akar umbi dan rakyat semuanya. Tanpa kerjasama akrab dan gandingan mantap yang bergerak sebagai satu pasukan, tentulah sukar bagi kita merealisasikan pencapaian-pencapaian yang dinyatakan tadi.

11. We will certainly achieve greater success when we continue to further strengthen this dynamic synergy, putting Malaysia onto the world map in many aspects of Government transformation deliverables, especially in economic development and social well-being.

PELAKSANAAN SME HIP 1: INISIATIF BITARA ERA DIGITAL

Hadirin yang dihormati sekalian,

12. Inisiatif SME HIP 1 atau Small and Medium Enterprise High Impact Programme 1, merupakan salah satu daripada enam (6) program berimpak tinggi (HIP) di bawah Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana bagi tahun 2012 hingga 2020, bagi melonjakkan lagi peranan Perusahaan Kecil dan Sederhana atau PKS dalam pembangunan ekonomi negara. Dalam konteks PKS, Kerajaan telah menetapkan sasaran sumbangan PKS kepada KDNK negara sebanyak 41 peratus menjelang tahun 2020, yang mana pencapaian yang dicatatkan pada tahun 2015 adalah sebanyak 36.3 peratus, manakala tahun 2016 adalah sebanyak 36.6 peratus.

13. Sebagai agensi pusat yang menerajui pemodenan dan transformasi sektor awam, MAMPU telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan SME HIP 1 yang melibatkan pembangunan portal, serta integrasi pendaftaran dan pelesenan perniagaan secara menyeluruh. Dalam hubungan ini, terdapat dua (2) serahan utama SME HIP 1, iaitu Gerbang Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan, serta Pengintegrasian Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan.

14. Dalam meneruskan aspirasi yang telah digariskan, Portal Informasi Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat, ataupun dikenali dengan Portal MalaysiaBiz, telah dipilih sebagai quick win Program SME HIP 1. Portal ini mula

dibangunkan pada tahun 2015, yang mana fasa awal pelaksanaannya, tertumpu kepada agensi-agensi di Semenanjung Malaysia. Portal MalaysiaBiz ini kemudiannya telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, bersempena dengan Mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan Ke-20 pada 23 Jun 2016.

15. Secara amnya, tiga objektif utama Portal MalaysiaBiz dibangunkan adalah:

(i) berfungsi sebagai portal atau gerbang setempat, bagi membolehkan komuniti perniagaan mendapatkan semua informasi berkaitan pendaftaran dan pelesenan perniagaan dengan cepat dan mudah;

(ii) menyalurkan informasi pendaftaran dan pelesenan perniagaan yang terkini, sahih dan tepat kepada komuniti perniagaan; dan

(iii) membantu Pihak Berkuasa Melesen menyimpan informasi pelesenan bagi agensi masing-masing dengan lebih teratur dan sistematik.

16. Keistimewaan dan keunikan utama Portal MalaysiaBiz adalah informasi pelesenan dipaparkan secara horizontal merentasi pelbagai Pihak Berkuasa Melesen. Di samping itu, portal ini juga menyediakan informasi pelesenan yang meliputi 1,174 aktiviti perniagaan dalam pelbagai bidang ekonomi, berdasarkan Piawaian Klasifikasi Industri Malaysia (MSIC) 2008 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Informasi pelesenan di Portal MalaysiaBiz, akan sentiasa dipantau dan dikemaskini oleh setiap Pihak Berkuasa Melesen bagi memastikan ia sentiasa relevan dengan perundangan dan peraturan perniagaan yang berkuatkuasa di Malaysia.

 


INISIATIF SME HIP 1 DI NEGERI SABAH: TESTIMONI PEMUAFAKATAN ERAT BERSAMA KERAJAAN NEGERI SABAH

Hadirin yang dihormati sekalian,

17. Bagi memaksimumkan impak inisiatif ini, SME HIP 1 turut diperluaskan pelaksanaannya ke negeri Sabah. Beberapa sesi libat urus telah diadakan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan pihak berkuasa negeri berkaitan, bagi merealisasikan hasrat ini. Pihak MAMPU telah menerima sokongan padu dan kerjasama yang amat erat, daripada Kerajaan Negeri Sabah serta rakan-rakan strategik, sepanjang pelaksanaan SME HIP 1 di negeri Sabah. Hasilnya, mulai bulan Mei 2017, informasi pendaftaran dan pelesenan perniagaan, di Portal MalaysiaBiz bagi 67 pihak berkuasa negeri Sabah, telah berjaya disiap dan dapat dimanfaatkan oleh seluruh komuniti perniagaan di negeri Sabah.

18. Sesungguhnya, pencapaian ini harus dibanggakan, kerana proses pengumpulan informasi pendaftaran dan pelesenan perniagaan di Portal MalaysiaBiz telah berjaya disiapkan lebih awal, berbanding sasaran sebenar pada bulan Disember 2017. Saya percaya, kejayaan ini tidak akan dicapai, tanpa sinergi dan kolaborasi erat daripada Kerajaan Negeri Sabah dan pihak berkuasa negeri berkaitan di bawahnya. Pencapaian yang amat bermakna ini, merupakan testimoni kerjasama strategik antara semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.

HARAPAN DAN LANGKAHAN KE HADAPAN

Hadirin yang dihormati sekalian,

19. Dalam menelusuri cabaran dan menyahut tuntutan pelanggan yang pelbagai, penawaran perkhidmatan awam digital perlu melangkaui ekspektasi yang diharapkan. Dalam hubungan ini, kemampanan Portal MalaysiaBiz, merupakan faktor yang amat kritikal, bagi memastikan ia sentiasa dapat dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan. Lantaran itu, 129 Rakan Informasi Lesen (RIL) daripada setiap pihak berkuasa di negeri Sabah yang dilantik pada hari ini, memainkan peranan penting, bagi memastikan informasi di Portal MalaysiaBiz adalah terkini, sahih dan tepat. Saya berharap, semua RIL dapat memberikan komitmen sepenuhnya, untuk mengemaskini informasi bagi pihak berkuasa negeri masing-masing di Portal MalaysiaBiz.
Pihak MAMPU bersama Kerajaan Negeri Sabah, akan memberi khidmat nasihat dan sokongan, dari semasa ke semasa. Pada masa yang sama, usaha-usaha mempromosi Portal MalaysiaBiz melalui Sesi Kenali Portal MalaysiaBiz, akan dilaksanakan secara berterusan, untuk menjelaskan fungsi portal dan, mendapatkan maklumbalas komuniti perniagaan, bagi tujuan penambahbaikan portal dari semasa ke semasa.

20. Dalam mengorak langkah ke dimensi baharu, Portal MalaysiaBiz yang kininya hanya berfungsi sebagai portal informasi setempat, akan turut diperluaskan skopnya, kepada penyediaan perkhidmatan permohonan pendaftaran dan pelesenan perniagaan dalam talian ataupun secara online, dan bersifat end-to-end. Urusan pendaftaran dan permohonan lesen perniagaan, akan menjadi lebih mudah dan cepat, kerana kedua-dua urusan tersebut boleh dilaksanakan serentak, melalui satu gerbang perkhidmatan sahaja. Ia sekaligus, akan mempercepatkan proses menjalankan perniagaan, dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat. Inisiatif ini, akan dilaksanakan menerusi dua (2) fasa, iaitu Fasa 1 bermula tahun 2017 hingga 2018, dan akan disusuli dengan Fasa 2 bermula tahun 2019 hingga 2020. Pihak MAMPU berharap, Kerajaan Negeri Sabah akan turut terlibat dalam Fasa 2 integrasi tersebut.


AKHIR BICARA

Hadirin yang dihormati sekalian,

21. Kejayaan menyediakan Portal MalaysiaBiz untuk manfaat komuniti perniagaan di negeri Sabah, adalah hasil kolaborasi pintar antara pihak MAMPU, SME Corp. Malaysia, agensi-agensi persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan pihak berkuasa negeri berkaitan di bawahnya. Setinggi-tinggi syabas dan tahniah saya ucapkan, dan semoga kejayaan ini dapat kita teruskan, agar SME HIP 1 dapat dilaksanakan dengan berkesan, sejajar dengan objektif yang telah digariskan dalam Pelan Induk PKS 2012 - 2020. Saya sekali lagi, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, khususnya pihak MAMPU dan Kerajaan Negeri Sabah, atas penganjuran majlis pada pagi ini. Saya mengharapkan semoga hubungan baik sedia ada ini, menjadi titik permulaan bagi kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat.

22. Dengan kata-kata tersebut, saya dengan rasminya melancarkan Portal MalaysiaBiz bagi negeri Sabah.
Sekian, terima kasih.

 

   
Link
 
Online Jobs Application
 
 
 
 
     
Contact Us
Prominent Link
Visitor Statistic 
count
     

Minister's Office, West Block, Level 4
Perdana Putra Building
Federal Government Administrative Centre
62502 Putrajaya
Malaysia

Telephone: 03-8872 7003
Fax: 03-8890 2562


Official Website Prime Minister Office of Malaysia
Official Website Deputy Prime Minister of Malaysia
Official Website Chief Secretary to the Government of Malaysia
Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU)
Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP)
Public Services Commision of Malaysia (PSC)
Prime Minister's Department
Online :2
Today :24
Yesterday :18
Week :107
Month :435
Year :4640
Total :9470
     
DISCLAIMER: This website and the Materials are provided “as is” and “as available”, without warranty of any kind, implied, express or statutory. The Office of The Prime Minister of Malaysia and The Government of Malaysia shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or Materials obtained from this website.