Theme :
Selected Language : English | Bahasa Malaysia    Font : A+ A- A
 
YB.Joseph
 
 
 
     
Speeches
 
Back 
 
Date 11/09/2017
   
Title MAJLIS PERASMIAN PROGRAM HACKATHON DATA TERBUKA DAN HACKATHON APLIKASI MUDAH ALIH 2017
   
Speech  
   

Salam Negara ku 1Malaysia
Salam Perpaduan
Salam Sehati Sejiwa

Yang Berbahagia Dato' Dr. Mazlan Yusoff
Ketua Pengarah,
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri;

Yang Berbahagia Dato' Yasmin Mahmood
Ketua Pegawai Eksekutif
Malaysia Digital Economy Corporation
(MDEC)

Yang Berusaha Dr. Suhazimah Dzazali
Timbalan Ketua Pengarah
(Teknologi Maklumat dan Komunikasi) MAMPU

Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Shahabuddin Bin Omar
Timbalan Ketua Pengarah
(Transformasi dan Pemodenan Pengurusan) MAMPU

Ketua-ketua Perunding ICT Sektor Awam

Pengarah-Pengarah Bahagian MAMPU

Perunding-Perunding ICT Sektor Awam

Pegawai-pegawai MAMPU,

Peserta-peserta Hackathon

Tuan-Tuan, dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian,

ALUAN PEMBUKA BICARA

1. Pertama-tamanya, saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur utama, iaitu Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri, atas jemputan dan penghormatan yang diberikan kepada saya untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Hackathon Data Terbuka dan Hackathon Aplikasi Mudah Alih tahun 2017 ini.

2. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada MAMPU, di bawah kepimpinan Yang Berbahagia Dato' Dr. Mazlan Yusoff, atas inisiatif menganjurkan program strategik ini, yang pada hemat saya berupaya memberi keberhasilan yang signifikan ke arah pemerkasaan penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

3. Ucapan syabas juga, ditujukan kepada rakan-rakan strategik MAMPU iaitu Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Telekom Malaysia Berhad, GITN Sdn. Bhd., Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan myVIC Sdn. Bhd.

4. Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan mengalu-alukan kehadiran semua Ketua-Ketua Jabatan, Badan-badan Bukan Kerajaan, pihak industri, akademia, pelajar-pelajar, serta semua peserta yang sudi meluangkan masa untuk terlibat bersama-sama dalam program yang bermula pada hari ini sehingga 13 September 2017 nanti.


MENDEPANI GELOMBANG PERUBAHAN
Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

5. Dunia hari ini memperkatakan tentang fenomena globalisasi dan kemunculan trend-trend mega yang bakal mengubah landskap dunia secara langsung. Komuniti dunia turut dihambat oleh apa yang dikenali sebagai Revolusi Industri Keempat atau the Fourth Industrial Revolution. Revolusi Industri Pertama yang muncul pada akhir abad ke-18 memperlihatkan penggunaan teknologi enjin wap dan peralatan mekanikal.

6. Era Revolusi Kedua yang muncul seabad selepas itu ditandai dengan penggunaan elektrik dan pengeluaran pengilangan secara besar-besaran.

Seterusnya, pada awal 1970-an, dunia menyaksikan kebangkitan Revolusi Industri Ketiga menerusi penggunaan peralatan elektronik, teknologi maklumat dan automasi.

7. Menurut Klaus Schwab, Pengerusi Eksekutif World Economic Forum, Revolusi Industri Keempat yang kian menyelubungi kita kini menghadirkan teknologi-teknologi bersifat disruptif dan breakthrough berasaskan Internet of Things (IoT) dan Internet of Everything melalui pemanfaatan analitis data raya yang akhirnya dizahirkan melalui kecerdasan buatan (artificial intelligence) serta teknologi robotik.


8. Kesan gelombang perubahan ini dapat dilihat apa yang digelar penggunaan teknologi S.M.A.C., iaitu singkatan kepada social, mobile, analytics dan cloud. Fenomena S.M.A.C kini semakin mempengaruhi tingkah laku masyarakat dan merevolusikan pengurusan organisasi khususnya dalam peningkatan produktiviti sama ada dalam sektor awam, mahupun dunia perniagaan dan industri.

9. Pengenalan konsep Uber misalannya, telah mempengaruhi rantaian nilai merentasi regulatori penguatkuasaan dan tadbir urus Kerajaan, hinggalah impak kepada dunia korporat dan industri serta norma kehidupan masyarakat dan individu. Paradigma baharu ini menghidangkan aspek penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan berasaskan pendekatan segar dan inovatif berlandaskan penggunaan teknologi S.M.A.C seperti yang saya sebutkan sebentar tadi.

10. Bermula dengan industri pengangkutan dan penyewaan kenderaan, hari ini idea dan konsep Uber telah menjangkau parameter yang lebih luas kepada pelbagai model perniagaan yang lain seperti an Uber for groceries (Instacart), an Uber for lodging (Airbnb), an Uber for tailors (zTailors), dan juga an Uber for private Jets (BlackJet).

11. Contoh yang lain ialah, penghasilan kenderaan fully autonomous Tesla yang boleh menuju ke destinasi tanpa pemandu, dan juga penggunaan drones melalui udara untuk menghantar pakej barangan kepada pelanggan di rumah adalah satu reality, dan akan menjadi satu kelaziman pada masa akan datang. Perkara ini adalah selari dengan laporan Financial Times bahawa "The cheaper, flexible machines that are emerging are designed to be more adaptive. From driverless cars and drones to the ‘cobots' that work alongside humans in industrial settings, they try to sense and adapt to their surroundings"

12. Berhadapan dengan revolusi keempat ini, persoalan yang timbul ialah, bagaimanakah agensi-agensi Kerajaan berikhtiar menyediakan generasi masa hadapan dengan set kompetensi, kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan era tersebut.

13. Saya percaya, program yang direncanakan pada hari ini adalah antara prespkripsi kita mempersiapkan generasi muda dalam mendepani gelombang teknologi bersifat disruptif ini. Saya menyeru, agar semua peserta pada hari ini berani mencabar status quo dan berlumba-lumba menampilkan idea-idea yang lebih kreatif dan inovatif, yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan negara yang kita cintai ini.

 

NEGARA DI PERSADA DIGITALISASI GLOBAL

Hadirin yang dihormati sekalian,

14. The Global Information Technology Report 2016 yang dikeluarkan oleh World Economic Forum telah menempatkan Malaysia pada kedudukan ke-31 daripada 139 buah negara yang dinilai. Aspek Government Usage iaitu salah satu daripada 10 indikator yang dinilai dalam penarafan ini pula merekodkan Malaysia di tangga ke-6. Laporan ini menyebut "This strong performance continues to be supported by a government that is fully committed to the digital agenda and that is seen to be ahead of its peers in terms of adopting the latest technologies".

15. Meneliti pencapaian negara menerusi lensa antarabangsa dalam penarafan data terbuka pula, kita sewajarnya boleh berbangga, kerana walaupun boleh dikatakan baru sahaja berkecimpung dalam pelaksanaan Data Raya Sektor Awam dan Data Terbuka Sektor Awam (DTSA), negara kita pada tahun 2016 berjaya memposisikan diri di tempat ke 53 daripada 115 negara yang dinilai dalam Open Data Barometer. Penarafan yang dilaksanakan oleh World Wide Web Foundation secara kolaboratif dengan Open Data for Development dan Omidyar Network, mengukur sejauh mana kesediaan dan komitmen Kerajaan dalam pelaksanaan data terbuka, serta sejauh mana data terbuka memberi impak dan manfaat kepada negara dan rakyat.

16. Ini membuktikan bahawa, rancangan Kerajaan meningkatkan penyampaian Perkhidmatan Awam melalui penggunaan ICT dan usaha mempromosi program-program ICT Kerajaan tidak sia-sia malah telah mendapat pengiktirafan dunia.

 

MEMANFAATKAN REVOLUSI DATA UNTUK KESEJAHTERAAN RAKYAT

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

17. Hari ini, data tidak lagi statik sifatnya, bahkan ia berbentuk volatile dan boleh dijadikan input utama dalam pelbagai spektrum seperti politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial, teknologi, alam sekitar dan undang-undang. Perkembangan pesat dalam ICT membawa kepada tercetusnya Data Revolution. Ia merujuk kepada dunia baharu di mana data digunakan secara meluas dan terperinci dalam skala yang besar dan juga pantas. Syarikat The Hewlett-Packard mendedahkan bahawa dalam setiap 60 saat, terdapat:

• 98,000 tweets
• 695,000 status dikemaskini di FB
• 11 juta instant messages
• 698,445 pencarian dalam enjin carian Google
• 168 juta e-mel dihantar
• 1820 terabytes data terbentuk
• 217 new mobile web users.

18. Dalam usaha untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan yang mengutamakan rakyat seperti yang digariskan dalam RMKe 11, salah satu daripada strategi untuk mengarus-perdanakan perkembangan teknologi digital, ialah dengan memanfaatkan data bagi mempertingkatkan outcome dan mengurangkan kos. Terdapat tiga langkah telah digariskan bagi mengoperasikan strategi ini iaitu: pertamanya melaksanakan insiatif data terbuka dalam kalangan agensi; keduanya menggalakkan perkongsian data merentasi agensi; dan ketiganya memanfaatkan analitis data raya.

19. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk berkongsi maklumat atau data yang terdapat di agensi-agensi Kerajaan dengan rakyat secara percuma adalah untuk faedah bersama. Melalui Portal DTSA seperti yang dinyatakan oleh Yang Berbahagia Dato' Dr Mazlan Yusoff sebentar tadi, data berkaitan Kerajaan yang dibuka kepada rakyat adalah data yang sememangnya boleh dikongsi kepada umum dan bukan bersifat data peribadi atau diklasifikasikan sebagai data sulit. Hakikatnya, pelbagai perkhidmatan boleh disediakan dengan mengguna pakai data yang diperolehi dan dikongsi dari agensi-agensi Kerajaan. Maklumat dari agensi Kerajaan boleh memberi pelbagai manfaat kepada orang ramai untuk pelbagai tujuan dan kepentingan tertentu dalam kehidupan masing-masing.

20. Inisiatif data terbuka ini juga merupakan satu inisiatif ke arah menggalakkan penciptaan produk yang berinovasi berasaskan data terbuka di kalangan komuniti perniagaan dan juga individu. Ciptaan produk baharu secara tidak langsung dapat meningkatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, dan menjana ekonomi dengan mewujudkan kemudahan perkhidmatan baharu demi untuk kemudahan rakyat.

PENYIMPUL BICARA
Hadirin yang dihormati sekalian,

21. Sebagai menyimpul bicara, sekali lagi saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada peserta Hackathon Data Terbuka dan Hackathon Aplikasi Mudah Alih musim 2017 ini. Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan juga kepada pihak urus setia, dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam memberikan komitmen menjayakan program bitara ini.

22. Besarlah harapan saya, agar inisiatif yang dianjurkan pada hari ini mencapai objektifnya. Saya juga berharap, agar program ini menjadi platform dan memberikan perspektif dan cetusan idea baharu oleh peserta-peserta dalam menghadapi realiti semasa.

23. Memetik frasa James McQuivey dalam karyanya, Digital Disruption: Unleashing the Next Wave of Innovation:

"Digital disruption is a mindset that ultimately leads to a way of behaving; a mindset that bypasses traditional analog barriers, eliminating the gaps and boundaries that prevent people and companies from giving customers what they want in the moment that they want it."

24. Dengan kata-kata itu, saya dengan sukacitanya merasmikan program Hackathon Data Terbuka dan Hackathon Aplikasi Mudah Alih bagi musim 2017 ini. Selamat maju jaya kepada semua peserta dan kekalkan iltizam serta usaha gigih untuk menghasilkan produk yang terbaik!

Sekian, terima kasih.

 

   
Link
 
Online Jobs Application
 
 
 
 
     
Contact Us
Prominent Link
Visitor Statistic 
count
     

Minister's Office, West Block, Level 4
Perdana Putra Building
Federal Government Administrative Centre
62502 Putrajaya
Malaysia

Telephone: 03-8872 7003
Fax: 03-8890 2562


Official Website Prime Minister Office of Malaysia
Official Website Deputy Prime Minister of Malaysia
Official Website Chief Secretary to the Government of Malaysia
Malaysian Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU)
Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP)
Public Services Commision of Malaysia (PSC)
Prime Minister's Department
Online :1
Today :4
Yesterday :14
Week :124
Month :370
Year :5933
Total :10763
     
DISCLAIMER: This website and the Materials are provided “as is” and “as available”, without warranty of any kind, implied, express or statutory. The Office of The Prime Minister of Malaysia and The Government of Malaysia shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information or Materials obtained from this website.